KUANTAN – Kerajaan Pahang mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan mewujudkan hab pengeluaran makanan negara bersepadu dan berdaya saing.
Hab itu bagi memacu pembangunan Kelantan, Pahang dan Terengganu menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia sangat baik kerana Pahang dan juga negeri di Pantai Timur memerlukan hab pengeluaran makanan bagi memacu dan menjana peluang ekonomi negeri.
Katanya, Pahang sendiri merangka pelaksanaan inisiatif seumpama itu termasuk hab halal di negeri berkenaan.
“Bagi menjayakannya, kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti tapak sesuai bagi memastikan inisiatitif yang kini diperingkat perancangan itu dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Minum Petang Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Sambutan Hari Pahlawan Negeri Pahang 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas inisiatif melalui RMK13 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Wan Rosdy berkata, dengan adanya usahasama dan bantuan Persekutuan, pembangunan hab makanan di negeri ini boleh dipercepatkan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini berkata, pembangunan dipacu melalui pewujudan hab pengeluaran makanan negara bersepadu dan berdaya saing di tiga negeri pantai timur – termasuk Pahang – mampu menjana peluang ekonomi baharu khususnya kepada penduduk desa.







