PUTRAJAYA – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan sekadar kesinambungan dasar pembangunan, namun satu transformasi struktur dan orientasi ke arah membina negara yang lebih tangkas, inklusif serta selamat.
Penganalisis hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, dasar itu dilihat memberi tumpuan terhadap pembinaan daya tahan jangka panjang negara, berbanding RMK12 yang hanya berteraskan kepada pemulihan pasca pandemik COVID-19.
Menurut beliau, pembangunan itu dilihat merangkumi keupayaan untuk menangani cabaran bukan tradisional seperti perubahan iklim, jenayah rentas sempadan, keselamatan makanan dan geopolitik serantau yang semakin mencabar.
“RMK13 dilihat lebih progresif, dengan memperkenalkan pendekatan pembangunan nasional yang lebih komprehensif dan strategik dengan memberi penekanan khusus terhadap aspek keselamatan negara, keselamatan maritim, dan hubungan antarabangsa.
“Pelbagai dasar proaktif seperti pewujudan Akta Keselamatan Sempadan, penubuhan pusat kawalan maritim serantau berasaskan ASEAN, dan pelaburan dalam teknologi keselamatan siber dan maritim sebagai asas kepada keselamatan menyeluruh negara.
“Kesemua strategi ini mencerminkan tekad Malaysia untuk membina satu negara yang stabil, berdaya tahan dan relevan dalam landskap serantau dan global yang semakin kompleks. Justeru, RMK13 dilihat dasar serta pembangunannya lebih dinamik berbanding RMK12,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, RMK13 juga tampil lebih berani dan inovatif dalam menjadikan aspek keselamatan sempadan dan maritim sebagai teras daya tahan negara, selain meletakkan Malaysia pada landasan lebih cemerlang untuk berdepan cabaran geopolitik serantau dan global secara bersepadu dan berwawasan.

Menurut beliau, ia juga mempamerkan satu lonjakan paradigma dalam mendefinisikan semula keselamatan negara bukan sekadar sebagai keperluan pertahanan fizikal, tetapi sebagai aspek strategik pembangunan negara yang holistik.
“Berbanding dengan RMK12 yang memperkukuh aspek keselamatan melalui pemodenan aset, keselamatan siber, dan kawalan jenayah rentas sempadan, RMK13 lebih proaktif dalam memperkukuh keselamatan maritim dan sempadan, serta memperluas jaringan hubungan antarabangsa ke arah daya tahan geopolitik dan kestabilan rantau.
“RMK13 menggariskan keperluan melipatgandakan usaha diplomasi keselamatan melalui kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala. Ini termasuk penglibatan aktif dalam ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM), kerjasama dengan Jepun, Korea Selatan dan Australia, serta penekanan terhadap kerjasama rentas sempadan dalam menangani jenayah seperti pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah,” katanya.
Sehubungan itu, Nur Ashikin berkata, pendekatan tersebut dilihat lebih strategik dan menyeluruh berbanding RMK12, kerana ia menyelaraskan dasar keselamatan dengan elemen diplomasi dan ekonomi serantau.
“RMK13 menekankan keselamatan multidimensi, termasuk isu migrasi tidak sah, pencerobohan perairan, serta kebocoran hasil ekonomi maritim seperti penangkapan ikan secara haram (IUU fishing). Langkah memperkukuh agensi penguat kuasa laut seperti APMM, TLDM dan ESSCOM menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kedaulatan negara terpelihara.
“Ini khususnya di kawasan perairan Sabah dan Laut China Selatan yang sering menjadi titik panas geopolitik. Usaha ini juga memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rundingan dan pelan tindakan ASEAN berkaitan keselamatan maritim serantau,” katanya.
Sementara itu, Nur Ashikin berpendapat, wujud keperluan untuk memperkukuh mekanisme pemantauan perairan dan zon sempadan, termasuk penggunaan dron, radar dan sistem pemantauan bersepadu di kawasan titik panas seperti ESSZONE dan Selat Melaka.
Pada masa sama, menurut beliau,
pembentukan Unit Tindakan Maritim Serantau di bawah ASEAN perlu dilaksana yang berfungsi secara kolaboratif untuk mengekang aktiviti IUU fishing, pemerdagangan manusia dan pencemaran laut.
“Memperkasa aset maritim tempatan, bukan sahaja untuk pengawasan tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan ekonomi seperti pelabuhan pintar dan industri perikanan mampan.
“Laksanakan diplomasi keselamatan yang lebih vokal dan berprinsip, selari dengan dasar luar Malaysia yang menekankan keamanan, neutraliti dan keadilan dalam pertikaian serantau termasuk isu Laut China Selatan.
“Terdapat juga keperluan untuk melakukan program kesedaran komuniti sempadan dan pesisir agar penduduk tempatan menjadi ‘mata dan telinga’ negara dalam pengesanan awal ancaman,” katanya.







