KUANTAN – Kerajaan Pahang menggerakkan misi bantuan pasca banjir sukarelawan Pahang ke Kelantan sebagai komitmen terhadap usaha kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, sukarelawan itu sudah semalam dan fokus utama mereka adalah di jajahan Tumpat.
“Seramai 400 sukarelawan terdiri daripada kakitangan jabatan negeri, badan berkanun, MajlIs Tindakan Sosial Pahang dan S-GLC ditugaskan membantu kawasan terkesan akibat banjir.
“Tumpuan diberikan kepada usaha pembersihan rumah dan sekolah terjejas, serta pengagihan bantuan kepada komuniti memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif ini bertujuan mempercepatkan proses pemulihan kawasan terkesan akibat banjir baru-baru ini.
“Dalam masa yang sama, kita menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong inisiatif murni ini demi kesejahteraan mereka yang terkesan secara langsung dengan bencana itu,” ujarnya.







