KUANTAN – Pahang terus mencatatkan pencapaian cemerlang dengan pertumbuhan produktiviti buruh tertinggi di negara ini bagi tahun lepas pada kadar 4.9 peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Pahang dalam memperkukuh daya saing ekonomi negeri.
“Alhamdulillah, negeri Pahang mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh tertinggi di Malaysia bagi tahun lalu dengan kadar 4.9 peratus, mengatasi purata kadar pertumbuhan negara sebanyak 2.4 peratus.
“Pencapaian ini didorong prestasi memberangsangkan sektor pembinaan yang merekodkan pertumbuhan 15.9 peratus, diikuti sektor pertanian 12.8 peratus dan sektor perkhidmatan 1.4 peratus,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri juga memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa melalui pembangunan sektor strategik.
“Semoga momentum positif ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan, demi merealisasikan hasrat menjadikan Pahang sebagai negeri maju, makmur dan berdaya tahan selaras dengan agenda pembangunan mampan negeri,” jelasnya.







