
LIMBANG – Seramai 14 lelaki yang asyik melepaskan gian dan terlibat dalam aktiviti pengedaran kecil-kecilan dadah ditahan dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan di sekitar daerah ini, sejak Ahad lalu.
Dalam operasi selama tiga hari itu, polis turut berjaya merampas dadah jenis methamphetamine seberat 6.15 gram yang dianggarkan bernilai RM615.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, jumlah dadah yang dirampas tersebut mampu dibekalkan kepada kira-kira 31 orang penagih jika ia terlepas ke pasaran.
“Hasil operasi ini, seramai lapan suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Manakala, masing-masing tiga individu lagi disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(1) akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Parum menyifatkan kejayaan operasi tersebut adalah hasil risikan berterusan pihak polis serta kerjasama erat masyarakat setempat yang bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa.
Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam rantaian aktiviti haram itu, sama ada sebagai pemilik, pengedar mahupun pelindung.
“Pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik sentiasa komited membanteras gejala ini habis-habisan demi keselamatan generasi akan datang memandangkan dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang di talian 085-211466 atau hotline 24 jam JSJN Sarawak di 017-5929211.




