LAMBIR – Open University Malaysia (OUM) terus mengorak langkah dalam agenda kelestarian alam sekitar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan ‘Save Our Earth’ yang berlangsung di Hutan Simpan Sungai Rait, Bakam semalam.
Program anjuran bersama Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu dirasmikan oleh Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad.
Sebanyak 500 anak pokok hutan ditanam oleh lebih 100 peserta yang terdiri daripada pelajar, alumni, tutor, staf OUM dan sukarelawan dari IBS College.
Program ini merupakan antara inisiatif OUM sempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya sekali gus menyokong sasaran kerajaan Sarawak menanam satu juta pokok menjelang 2025.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Izanee menyatakan program tersebut mencerminkan komitmen OUM dalam mendidik masyarakat melalui pendekatan pendidikan luar bilik darjah.
“Kami menyasarkan penanaman 2,500 pokok sepanjang tahun ini, dengan kemuncaknya pada Ogos sempena ulang tahun ke-25 OUM,” katanya.
Ariffin pula menyeru agar semua pihak terus memperkukuh kerjasama merentas sektor dalam menjayakan agenda hijau, selain memuji OUM sebagai antara institusi pendidikan tinggi yang konsisten dalam pelaksanaan inisiatif lestari.
Sejak 2012, OUM aktif melaksanakan pelbagai program CSR yang memfokuskan kepada kelestarian alam, pendidikan dan pembangunan komuniti setempat.
Sementara itu, Pegawai Perhutanan Jabatan Hutan Sarawak Wilayah Miri Liam Dibor menekankan kepentingan pemuliharaan hutan dan peranan pokok dalam memastikan kestabilan ekosistem serta mitigasi perubahan iklim.
Selain di Miri, OUM turut melaksanakan program serupa di Tawau, Sandakan dan Kuching, mencerminkan pendekatan menyeluruh universiti itu dalam membentuk komuniti yang cakna dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.






