KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada terutama ketika musim penyaluran bantuan dan perayaan yang semakin hampir kerana tempoh berkenaan dianggap musim ‘memancing’ oleh sindiket penipuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini kerana pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan perayaan Tahun Baharu Cina serta Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, mempunyai jarak yang sangat dekat.
“Sudah pasti ibu bapa akan keluarkan duit untuk buat persiapan untuk perbelanjaan harian, persiapan hari raya, isi ‘angpau’ dan buat pembelian.
“Berwaspadalah kerana pada waktu ini scammer akan berleluasa, dia anggap ini musim ‘memancing’. Sekiranya tuan-tuan menerima SMS yang mengandungi pautan (hyperlink), jangan klik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Taman Tasik Titiwangsa, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata sejak tahun lalu, MCMC sudah menetapkan bahawa bermula SMS rasmi tidak mengandungi pautan.

Justeru katanya, sekiranya orang ramai menerima SMS sedemikian, ia bermaksud scammer berada berhampiran lokasi mangsa dan menggunakan ‘fake base station’, untuk menghantar mesej penipuan.
“Saya ingin memberi peringatan sekali lagi, sila berhati-hati dan jangan menjadi mangsa scammer. Sekiranya tuan-tuan menjadi mangsa, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) sedia membantu.
“Dengan pembukaan pejabat baru NSRC dan penambahan anggota, pusat berkenaan kini boleh menerima panggilan 24 jam. Sekiranya anda menjadi mangsa penipuan, segera telefon 997.
“Laporan kepada NSRC dalam masa 30 minit akan membolehkan pihak berkuasa berusaha menahan aliran keluar wang dan kembalikan duit anda,” katanya.





