
MIRI – Orang ramai khususnya umat Islam di bandar raya ini dipelawa untuk menyertai program ‘Miri Kita Sungkei Sama’ anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada Ahad ini.
Ahli Parlimen Miri yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, program tersebut akan diadakan di Masjid An Naim, Lutong bermula seawal jam 4.30 petang.
Menurutnya, pengisian acara pada 1 Mac itu merangkumi majlis berbuka puasa atau sungkei, sebelum disusuli dengan sesi tazkirah agama dan solat sunat tarawih secara berjemaah.
“Program ini bukan sekadar majlis berbuka puasa, malah ia menjadi platform penting dalam memupuk keharmonian, memperkukuh perpaduan serta menyemai semangat muhibah dalam kalangan masyarakat Miri yang berbilang kaum.
“Melalui perkongsian rezeki dan juadah dalam suasana penuh kebersamaan, masyarakat dapat mengeratkan silaturahim serta membuka ruang untuk saling memahami dan menghormati antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran program seumpama itu juga adalah selari dengan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh budaya keterangkuman.
Ujarnya, langkah itu penting bagi memperluas penglibatan komuniti agar setiap lapisan masyarakat dapat berinteraksi dalam suasana yang harmoni, bermakna dan positif.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai untuk hadir bersama ahli keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan majlis yang dijangka berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan dan keberkatan itu.





