GUA MUSANG – Ketua Operasi Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, dia adalah ‘orang paling tersohor’ di Malaya apabila selipar, kasut, stoking dipakainya mencuri tumpuan sepanjang tempoh berkempen.
“Ambo (saya) ini ceramah setiap malam. Akhir-akhir ini sohor (terkenal) sangat.
“Orang paling sohor (terkenal) dalam Malaya, sehari dua ini ambo (saya) lah.
“Sebab semua orang cakap pasal hal selipar, kasut, stoking.
“Sampai hal seluar dalam. Ambo (saya) ini ibarat kemuncup lekat di seluar dalam,” katanya ketika program Ceramah Umum PRK Nenggiri di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Asap, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir Annuar kerana memakai pakaian berjenama ketika berkempen.
Kata Puad, Annuar sepatutnya berlakon sedikit supaya tidak menunjukkan kemewahan kepada masyarakat Orang Asli di situ.
“Tular beberapa gambar Annuar Musa pakai barang jenama Louis Vuitton (LV). Baju LV. Jam LV. Selipar pun LV.
“Ia ekoran Annuar pakai baju LV masa bagi maggie mee (mi segera) pada pengundi Orang Asli,” katanya.









