GELOMBANG propaganda songsang kembali melanda Terengganu. Kali ini, taktiknya jauh lebih licik bukan lagi sekadar ceramah fitnah di pentas atau video murahan di TikTok, tetapi penyamaran digital berskala terancang, menggunakan akaun palsu yang berpura-pura menjadi penyokong PH dan BN.
Terbaharu tangkap poster digital palsu yang berlegar di dalam aplikasi Whatsapp mendakwa PKR Terengganu menolak pelantikan Datu Rozi Mamat, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu sebagai Pengerusi Ketengah dan laman Facebook palsu TUTUP MATA, yakni akaun TikTok penyokong PH-BN Terengganu sedangkan akaun TUTUP MATA tidak mempunyai laman Facebook rasmi, TUTUP MATA bergerak melalui TikTok.
Tujuannya jelas mencipta kekeliruan, menanam perpecahan, dan menyemai kebencian dalam kalangan rakyat yang mula menilai prestasi sebenar pentadbiran negeri. Bila gagal berhujah dengan fakta, mereka berpaling kepada taktik gelap menyamar jadi musuh untuk menyerang dari dalam.
Akaun palsu, watak rekaan, skrip berulang
Corak luar biasa pada beberapa akaun yang kononnya menyokong Kerajaan Perpaduan dapat dikesan melalui gambar profilnya dari stok internet, ayatnya sama seperti akaun lain, dan masa hantarannya disusun rapi seolah-olah dikawal dari satu pusat arahan.
Beberapa akaun ini muncul hanya beberapa minggu lalu tanpa sebarang sejarah aktiviti komuniti tempatan, tetapi tiba-tiba aktif menyerang pemimpin PH dan BN Terengganu dengan mesej sinis, mencipta kononnya perbalahan dalaman parti. Dalam dunia komunikasi digital, inilah yang disebut sebagai ‘coordinated inauthentic behaviour’ (CIB) perilaku palsu yang disusun bagi mencipta persepsi palsu.
Hakikatnya, penyamaran ini bukan sekadar perang siber. Ia adalah usaha menggugat kestabilan politik negeri.
Mereka tidak berani berdepan fakta
Pas dan sekutunya semakin kehabisan modal politik. Ketika rakyat mula mempersoalkan isu air yang tidak selesai, peluang kerja yang tidak meningkat, dan ketelusan pentadbiran negeri yang semakin kabur, mereka memilih jalan pintas mencipta akaun palsu, menyamar, dan menipu.
Itulah tanda ketakutan politik. Bila fakta tidak menyebelahi, fitnah dijadikan senjata. Bila prestasi tidak boleh dipertahankan, maka penyamaran dijadikan benteng terakhir.
Mereka tahu bahawa rakyat semakin celik. Maka untuk terus hidup dalam medan maya, mereka mencipta bayangan penyokong PH-BN yang pura-pura kecewa, pura-pura bertelagah hanya untuk mewujudkan naratif ‘kerajaan perpaduan sedang goyah’.
Padahal realitinya, yang goyah ialah kepercayaan rakyat terhadap Pas sendiri.
Serangan tersusun, tindakan balas tegas
Rangkaian penyamaran ini tidak datang secara spontan. Ia menunjukkan pola gerak kerja yang sistematik akaun-akaun baharu yang muncul serentak, menggunakan bahasa dan skrip yang sama, berkongsi hantaran dari halaman propaganda tertentu, kemudian disebar ke WhatsApp dan Telegram.
Rakyat Terengganu tidak mudah diperbodoh
Rakyat negeri ini bijak menilai. Mereka tahu yang mana akaun asli, yang mana penyamar. Mereka sudah lama muak dengan permainan agama yang dijadikan selimut untuk menutup kelemahan pentadbiran.
Kerajaan Perpaduan hadir bukan untuk mencipta musuh, tetapi untuk memulihkan semula maruah dan pembangunan negeri. Namun pihak lawan nampaknya tidak mahu bersaing dengan dasar dan idea mereka memilih untuk menyelinap di sebalik akaun palsu dan bayangan maya.
Fitnah boleh dicipta, kebenaran tidak boleh disembunyikan
Operasi penyamaran ini hanyalah taktik panik tanda jelas bahawa pihak tertentu sudah mula kehilangan pengaruh di mata rakyat. Tapi kebenaran tidak boleh disembunyikan selama-lamanya.
Rakyat Terengganu berhak tahu siapa yang memfitnah, siapa yang menyamar, dan siapa yang berjuang dengan jujur.
Kerajaan Perpaduan tidak akan tunduk kepada politik penipuan. Kita akan lawan dengan hujah, fakta, dan bukti.
Kerana yang benar tetap benar walau diselindung seribu topeng palsu.
“Penyamaran politik bukan strategi — ia pengakuan ketakutan.”







