
KANGAR – Taktik penyamaran oleh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis membongkar sikap sambil lewa sebahagian penumpang bas yang masih enggan memakai tali pinggang keledar, meskipun kemudahan itu disediakan dalam bas moden.
Pengarah JPJ negeri, Noraini Mohd. Nawi berkata, operasi tersebut dijalankan sejak 1 Julai lalu sempena Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bagi Bas Ekspres dan Bas Persiaran.
Katanya, anggota JPJ menyamar sebagai penumpang bagi merakam bukti ketidakpatuhan melalui gambar dan video ketika dalam perjalanan menaiki bas ekspres dan persiaran.
“Hasil pemeriksaan setakat ini mendapati masih ada penumpang yang ambil mudah dan tidak memakai tali pinggang keledar walaupun sistem itu tersedia dan berfungsi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Terminal Perlis Sentral, di sini hari ini selepas menyertai pemeriksaan berkala ke atas bas-bas awam.
Menurut Noraini, daripada 130 bas yang diperiksa di seluruh negeri, hanya dua individu iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang dikenakan kompaun RM300 kerana gagal memakai tali pinggang keledar.
Tambah beliau, seramai 17 penumpang bawah umur turut diberi nasihat melalui advokasi agar mereka memahami kepentingan mematuhi aspek keselamatan asas ketika menaiki bas.
“Sebanyak 27 buah bas yang diperiksa pula adalah model selepas 1 Januari 2020 dan kesemua kenderaan ini diwajibkan mempunyai sistem tali pinggang keledar yang berfungsi serta digunakan oleh penumpang,” jelasnya.
JPJ Perlis juga akan meneruskan tindakan penyamaran dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh tanpa kompromi.
Dalam masa sama, katanya, pemakaian tali pinggang keledar akan diperluaskan secara berperingkat kepada bas henti-henti dan bas sekolah dalam usaha membudayakan keselamatan jalan raya.
Noraini turut mengingatkan semua pengusaha bas agar memainkan peranan lebih aktif memastikan sistem keselamatan dalam kenderaan masing-masing sentiasa diselenggara dan dipatuhi sepenuhnya oleh semua penumpang.









