
MIRI – Seramai 36 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri digerakkan dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah bagi menggempur pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang di sekitar daerah ini.
Operasi yang bermula pada jam 10 malam itu diketuai oleh lima pegawai kanan dan dibantu 31 anggota menerusi pelbagai bentuk penugasan lapangan.
Ia merangkumi pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR), pemeriksaan mengejut (snap check), rondaan berkereta serta pemeriksaan di beberapa pusat hiburan terpilih.
Hasil serbuan di pusat hiburan berkenaan, pihak polis berjaya menahan tiga lelaki dewasa yang disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah.
Dalam pada itu, pemantauan menerusi SJR di sekitar kawasan pentadbiran IPD Miri mendapati segelintir pengguna jalan raya masih berdegil melanggar peraturan jalan raya.
Antara kesalahan yang dikesan termasuklah memandu tanpa lesen, ubah suai struktur kenderaan dan ekzos, tiada cermin sisi, penggunaan nombor pendaftaran fancy, serta cukai jalan tamat tempoh.
Susulan pemeriksaan tersebut, sebanyak 28 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas terbabit.
Terdahulu, taklimat penugasan operasi berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Miri, Asisten Superintenden Lee Yen Fang di Ruai Kenyalang, IPD Miri.
Bagi memberi jaminan keselamatan kepada masyarakat awam, polis turut memperhebatkan rondaan berkereta dan snap check di taman perumahan, kawasan kampung serta jalan utama.
IPD Miri menerusi satu kenyataan menegaskan, kehadiran polis (omnipresence) di kawasan tumpuan awam menerusi operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengekang jenayah setempat.



