
LIMBANG – Seramai 1,218 golongan rentan di Bahagian Limbang menerima sumbangan khas bagi mengurangkan beban sepanjang bulan Ramadan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang itu bertujuan menceriakan penerima bantuan kebajikan bulanan menjelang musim perayaan.
“Seramai 100 penerima dijemput hadir ke majlis hari ini, manakala selebihnya akan menerima bantuan yang disalurkan terus ke akaun bank masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan majlis sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi Majlis Sejambak Kasih Raya Bahagian Limbang Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Bunga Raya, hari ini.
Beliau berkata, melalui program Sejambak Kasih Raya bertemakan Uplifting Lives Festive, setiap penerima menerima sumbangan tambahan berupa wang tunai RM100 serta hamper bernilai RM80 bagi membantu meringankan beban mereka membuat persiapan Aidilfitri.

Menurutnya lagi, program tersebut merupakan inisiatif program signature Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawakyang dilaksanakan bersama 11 Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian di seluruh negeri.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga Mac 2026, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang telah menyalurkan RM4.32 juta bagi skim Bantuan Persekutuan serta RM400,400 bagi Bantuan Negeri kepada 3,185 penerima bantuan di daerah Limbang dan Lawas.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak sentiasa menggalakkan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan kesejahteraan golongan rentan terus dipelihara.
“Bantuan seperti ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah memberi sokongan moral dan emosi kepada mereka untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Beliau turut berharap usaha kebajikan seperti ini dapat terus diperkasakan bagi memastikan tiada golongan memerlukan yang tercicir daripada menerima bantuan.



