
KOTA KINABALU – Datuk Ong Kim Swee mengumumkan keputusan untuk tidak memperbaharui kontraknya sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC yang akan tamat pada November 2024.
Beliau berkata, perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024 akan menjadi tugasan terakhirnya bersama pasukan tersebut.
“Saya rasa bersyukur terhadap peluang yang diberikan untuk memimpin kelab yang hebat ini.
“36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa individu yang banyak memberi sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya dan pihak pengurusan tertinggi Sabah FC atas kepercayaan dan sokongan penuh sepanjang saya berada di sini,” katanya dalam kenyataan dikongsi di laman Instagram miliknya, pada Khamis.

Selain itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pemain dan pegawai sokongan pasukan.
“Kepada para pemain, saya amat berbangga dengan segala usaha dan pencapaian kita sebagai satu pasukan.
“Komitmen dan profesionalisme anda sama ada di atas mahupun di luar padang adalah sesuatu yang luar biasa.
“Bekerja bersama anda adalah satu penghormatan besar bagi saya,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga tidak lupa memberi penghargaan kepada para penyokong yang sentiasa memberi sokongan padu baik di stadium mahupun dari jauh.
“Anda adalah nadi kelab ini. Sokongan anda sentiasa memberi makna besar kepada saya dan pasukan,” katanya.
Tambah beliau, walaupun akan meninggalkan jawatannya sebagai Ketua Jurulatih, Ong Kim Swee menegaskan bahawa beliau tetap akan menjadi penyokong setia Sabah FC dan berharap kelab ini akan terus maju dan berjaya di masa hadapan.







