JOHOR BAHRU – Naib Presiden PKR , Nurul Izzah Anwar menekankan kepentingan perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli serta jentera parti bagi menghadapi cabaran politik akan datang.
“Saya rasa bukan soal mudah atau susah untuk menang, yang paling utama ialah kita perlu bersatu.
“Kita perlu turun berkempen, menjalankan tugas, mendekati rakyat dan memastikan kemenangan di setiap kerusi sasaran pada pilihan raya nanti,” katanya kepada The Malaysia Press pada Jumaat.
Beliau berkata demikian mengulas berkenaan proses pengundian yang berlangsung dengan lancar, khususnya dengan penyertaan aktif perwakilan dari sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat PKR berlangsung hari ini merangkumi pemilihan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, yang bermula dari 8 pagi hingga 5 petang.
Sebanyak 32,030 perwakilan layak mengundi merangkumi 22,936 secara dalam talian dan 9,094 secara fizikal.
Dalam pada itu, beliau berkata segala usaha harus disulami semangat kekeluargaan yang menjadi tunjang kekuatan parti.
Katanya, antara inisiatif yang dilakukan adalah turun padang bertemu dengan pasukan sukarelawan sebagai sebahagian persiapan rapi menghadapi pilihan raya kelak.
“Kita lihat dalam skop semangat keluargaan. Kami juga sedang membuat culaan bila kita nak jumpa pasukan sukarelawan kami. Jadi inilah semangatnya. Semangat kebersamaan,” katanya.
Nurul Izzah turut menitipkan harapan kepada semua pengundi dan perwakilan agar undi yang diberikan akan membina hala tuju parti yang lebih jelas dan erat.
“Kepada semua pengundi, kepada semua perwakilan, semoga undi kita akan membawa kepada arah parti yang lebih tersusun dan bertaut antara satu sama lain.
“Semoga akar umbi terus bersemangat, bersatu hati dan membawa perjuangan ini ke hadapan dengan lebih mantap,” katanya.
Seruan beliau mencerminkan harapan agar PKR terus berdiri teguh sebagai sebuah parti rakyat yang mendengar, memahami dan memperjuangkan nasib semua lapisan masyarakat.





