NURUL Izzah Anwar menawarkan diri bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu pada 24 Mei depan.
Naib Presiden PKR itu berkata, keputusan berkenaan dibuat atas keinginan meraikan keperluan bakat dalam parti kerana proses ‘regenerasi’ bermula dari akar umbi.
“Insya-Allah saya menawarkan diri khidmat selaku jawatan Naib Presiden dan berharap ahli parti dapat memberikan peluang untuk saya menggalas bebanan, selari dengan konsep fardu kifayah.
“Ia kerana sejak awal penubuhan parti, saya masuk ke gelanggang pun berdasarkan mahu melunaskan fardu kifayah, maka saya berharap dalam pemilihan kali ini dengan pertandingan dalam semangat kekeluargaan.
“Saya harap dapat diberikan ruang dan peluang bukan saja untuk memperkuatkan parti dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya kepada media selepas majlis Sumbangan Kasih Ramadan dan Moreh di Masjid Zaid Bin Thabit, Desa Tun Razak, malam tadi.
Ditanya sama ada keputusannya mendapat restu bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, beliau berkata, secara prinsipnya beliau ada berbuat demikian dan mendapat keizinan daripada kedua ibu bapanya.
“Sebenarnya saya terus membuat pencalonan kerana proses kali ini agak rumit, kita perlu sokongan cabang mencukupi sebelum mendapat undi di peringkat pusat.
“Saya berada dalam parti cukup lama dan fokus saya parti dalam berdaya saing dan dinamik menghadapi cabaran mendatang.
“Kita akan melawat dari negeri ke negeri, parti mempunyai program kemasyarakatan dan PKR mesti memaparkan wajah wajah yang dekat dengan rakyat,” katanya.







