
TAWAU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyambut baik usaha Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau bagi membendung ketagihan merokok dan ‘vaping’ dalam kalangan masyarakat khususnya Tawau.
Nizam berkata, inisiatif terutama di bulan Ramadan ini menunjukkan keseriusan pihak Kesihatan Kawasan Tawau menggalakkan orang ramai khasnya perokok mengamalkan gaya hidup sihat.
“Sebelum ini program sebegini pernah dilakukan di DUN Apas dan harap ia diteruskan pada masa akan datang.
“Selain meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan rokok dan vape, program ini mengeratkan lagi hubungan KKM dan komuniti,” katanya kepada media selepas merasmikan Bicara Santai Nafas Baru Ramadan, di Surau Al-Munawwarah PPR Taman Sri Titingan, pada Selasa.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, pihaknya menerima maklum balas positif berkaitan program itu antaranya kurang merokok dan berhenti merokok.
“Ramai yang kita jumpa dan ini matlamat kita untuk terus dilakukan pada bulan puasa kerana kita tidak menekan mereka (perokok), tetapi mahu masyarakat sihat.
“Sebab itu, kita didik dahulu, buat penerangan berkaitan impak merokok dan sekiranya masih berdegil, akan dikompaun,” katanya.
Mengenai tabiat merokok dalam kalangan generasi muda, Dr Shameer berkata, program PKK Tawau itu juga menyasarkan golongan itu termasuk membuka klinik remaja bagi menawarkan khidmat kaunseling.
Program bermula pukul 5 petang hingga 9 malam itu turut diisi dengan bual bicara bersama Pegawai Perubatan dan pemeriksaan kesihatan percuma.







