
PUTRAJAYA – Ringgit meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mencapai paras tertinggi sejak 2 Februari 2023 ketika ditutup hari ini.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu melonjak kepada 4.2410/2460 berbanding dolar AS 4.2535/2645 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kepada Bernama, pemerhati pasaran menjangkakan penurunan 50 mata asas (bps) bagi Kadar Dana Fed (FFR) malam ini.
“Ini akan mengecilkan jurang antara FFR dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kini berada pada 2.5 peratus.
“Keadaan ini akan menjadikan aset dalam denominasi ringgit menarik pada pandangan pelabur asing,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata, kadar semasa ringgit berbanding dolar AS menghampiri paras sokongan pada 4.2128.
“Oleh itu, pengumuman Fed malam ini amat penting untuk menentukan prospek ringgit pada masa hadapan,” katanya.