
TONGOD – Sebanyak 74 komuniti gereja di Tongod menerima sumbangan berjumlah RM50,000 sempena sambutan Hari Natal daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Masiung berkata, sumbangan berkenaan merupakan satu inisiatif sentuhan kasih untuk membantu jemaah gereja dalam menjalankan aktiviti keagamaan sempena perayaan Natal yang akan disambut pada 25-26 Disember ini.
“Setiap gereja akan menerima sumbangan antara RM500 hingga RM1,000 yang merupakan bantuan tahunan yang diagihkan menjelang Hari Natal.
“Saya akan terus terlibat dalam apa jua program pembangunan keagamaan di daerah Tongod,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Difahamkan, penyerahan sumbangan itu berlangsung dalam satu sambutan Hari Natal yang diadakan di Dewan Entilibon, Tongod, Jumaat lepas.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah turut menggesa pemimpin komuniti gereja di kawasan Kuamut untuk mengutamakan keindahan dalam dan luar bangunan gereja melalui projek gotong-royong dalam kalangan jemaah.





