
SANDAKAN – Hampir satu juta penduduk di timur Sabah dijangka mendapat manfaat daripada penambahbaikan berterusan perkhidmatan kesihatan di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, hospital itu bukan sahaja berperanan sebagai pusat rujukan utama, malah menjadi talian hayat kepada penduduk di kawasan timur negeri ini.
“Keutamaan kementerian adalah memastikan perkhidmatan di HDOK kekal mantap, responsif serta mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
“HDOK merupakan fasiliti kluster utama yang menyokong komuniti di Sandakan serta daerah sekitar seperti Beluran, Kinabatangan, Telupid dan Tongod, dengan jumlah penduduk hampir mencecah satu juta orang,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Tambah Julita, HDOK kini menyediakan 20 perkhidmatan kepakaran termasuk perubatan kecemasan, pediatrik, ortopedik, psikiatri serta unit rawatan rapi, sekali gus menjadikannya antara pusat rujukan terpenting di pantai timur Sabah.
Julita turut menekankan kepentingan pelaburan berterusan dalam infrastruktur hospital, termasuk perancangan pembinaan blok baharu yang dijangka meningkatkan kapasiti, menambah ratusan katil pesakit serta memperluaskan perkhidmatan pakar dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Usaha ini adalah untuk membina masa depan sistem kesihatan Sabah.
“Kita mahu rakyat di timur Sabah menerima penjagaan sewajarnya dan lebih dekat dengan kediaman mereka, disokong kemudahan lebih baik serta kepakaran yang mantap,” ujarnya.
Tambah beliau, lawatan tersebut mencerminkan komitmen kementerian dalam meningkatkan akses kesihatan awam, menyokong petugas barisan hadapan serta menyediakan penyelesaian jangka panjang terhadap keperluan kesihatan negeri yang semakin berkembang.





