
KUCHING – Sarawak berjaya mencuri tumpuan pelabur Eropah di Mobile World Congress (MWC) 2026 apabila menawarkan Bumi Kenyalang sebagai hab strategik baharu untuk kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan teknologi global.
Dengan menonjolkan kelebihan sumber tenaga hijau berskala besar yang amat dicari oleh syarikat antarabangsa hari ini, Sarawak berjaya memeterai lima Memorandum Persefahaman (MoU) bersama gergasi teknologi dunia seperti Hewlett Packard, Huawei, dan ZTE bagi merancakkan pemindahan teknologi ke negeri itu.
Bagi meyakinkan pelabur, Sarawak telah menyediakan ekosistem perniagaan yang serba lengkap.
Ini merangkumi jaminan bekalan elektrik yang stabil dan murah melalui sasaran penjanaan 10 gigawatt (GW) tenaga bersih menjelang 2030, serta kemudahan infrastruktur internet yang kini mencapah lebih 90 peratus di kawasan berpenduduk.
Menariknya, inisiatif pendidikan tinggi percuma yang bermula tahun ini (2026) dijangka akan melahirkan ramai pakar tempatan bagi mengisi 300,000 peluang pekerjaan baharu yang bakal tercipta.
Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, kestabilan tenaga dan kemudahan digital kelas pertama menjadikan Sarawak lokasi yang sangat ideal untuk projek berskala besar.

“Langkah agresif di pentas antarabangsa ini membuktikan komitmen serius Sarawak untuk menjadi peneraju ekonomi digital di rantau ASEAN, sekali gus mensasarkan pendapatan negeri (KDNK) mencecah RM282 bilion menjelang tahun 2030.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




