
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini menganjurkan Majlis Berbuka Puasa yang menghimpunkan kepimpinan tertinggi negeri dan persekutuan dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik serta menyantuni golongan memerlukan menjelang Aidilfitri.
Mayor DBKK, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, penganjuran majlis tersebut bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara warga DBKK dengan agensi-agensi kerajaan yang sering bekerjasama dengan pihaknya, selain memperkukuh jalinan bersama Kerajaan Negeri Sabah.
“Majlis ini bukan sahaja sebagai platform memperkukuh kerjasama strategik antara DBKK dan rakan-rakan agensi, malah sebagai tanda kebersamaan dalam menyemarakkan Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah dan isteri di sini pada Isnin.
Dalam majlis tersebut, Yang di-Pertua Negeri turut menyampaikan sumbangan bagi pihak DBKK kepada 10 asnaf yang dikenal pasti oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, 10 anak yatim, serta lima masjid dan surau sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
“Sumbangan berkenaan melibatkan bantuan wang tunai selain peralatan keperluan masjid.
“Pihak kami berharap bantuan itu dapat meringankan perbelanjaan penerima, khususnya golongan asnaf dan anak yatim, agar mereka dapat membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih sempurna.
“DBKK komited untuk terus memainkan peranan bukan sahaja dalam aspek pembangunan bandar raya, tetapi juga dalam memperkukuh tanggungjawab sosial korporat demi kesejahteraan warga Kota Kinabalu,” ujarnya.
Majlis yang berlangsung petang tadi turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri. Turut hadir anggota Kabinet Negeri, pembantu-pembantu menteri, ketua-ketua jabatan dan agensi persekutuan serta negeri, wakil media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Hampir 700 warga DBKK dan DBKK Holdings menghadiri majlis berkenaan, manakala selebihnya terdiri daripada jemputan kerajaan, NGO, persatuan anak yatim serta kumpulan asnaf.





