
INANAM – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menghargai pandangan dan luahan mahasiswa berhubung isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangan mengenai susulan kenyataan Suara Mahasiswa yang mengkritik keutamaan Kerajaan Negeri membeli nombor plat SMJ daripada menyelesaikan isu air di UMS.
Mustapha berkata, setiap pandangan mahasiswa perlu diraikan kerana ia mencerminkan keprihatinan mereka terhadap masalah asas seperti air dan elektrik.
“Itu mungkin pandangan pelajar. Saya fikir kita raikanlah pandangan-pandangan mahasiswa ini sebab itu adalah luahan daripada hati mereka sebagai rakyat dan mahasiswa yang ingin melihat masalah air ini diselesaikan.
“Sebagai pimpinan, kita terima teguran itu. Kita harap dalam apa juga perancangan, keutamaan diberikan untuk menyelesaikan masalah asas ini iaitu air dan elektrik. Yang lain mungkin boleh ditangguhkan ataupun dikaji semula,” katanya kepada media selepas Majlis Raya Sekampung Parlimen Sepanggar dan DUN Inanam di Perkarangan Masjid Tun Ahmad Shah, Kampung Inanam Laut, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mustapha memaklumkan bahawa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah memberi keutamaan untuk mengisi sumber air ke tangki UMS bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi mahasiswa.
“Setakat ini, kita dimaklumkan bahawa Jabatan Air telah memberi keutamaan untuk mengisi tangki air di UMS.
“Pada masa yang sama, sekiranya bekalan dari Jabatan Air berkurangan, kita juga ada sembilan telaga tiub yang dibina tahun lepas untuk membantu menampung keperluan pelajar-pelajar buat sementara waktu,” ujarnya.
Mustapha berkata, pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan JANS untuk memastikan bekalan air di kampus UMS berada pada tahap mencukupi.







