KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya mencontohi sikap ‘gentleman’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana Anwar tidak pernah mempersoalkan keputusan Yang di-pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri melalui ‘Langkah Sheraton’.
“Dalam hal membabitkan pelantikan jawatan perdana menteri ini, saya rasa Muhyiddin patut mencontohi sikap Anwar, terutamanya selepas ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.
“Anwar tidak mempersoalkan hal berkaitan pelantikan Muhyiddin… sikap ‘gentleman’ seperti ini wajar dicontohi.
“Lagipun kita ada masa lebih kurang dua tahun setengah atau tiga tahun untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang, ini amalan demokrasi, jadi tunggulah bila sampai masa (PRU), kita lawanlah balik,” katanya ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, polis merakam keterangan Muhyiddin berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) ketika berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, Gua Musang, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu dilapor menyebut bahawa bekas Agong tidak mengundangnya untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun mempunyai sokongan cukup ahli Parlimen.
Semalam, Muhyiddin sudah dirakam keterangan oleh polis susulan video ucapannya itu.
Difahamkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.




