
PUTRAJAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar segera memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mohd Puad berkata, pendedahan sebenar telah dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa Muhyiddin tidak memiliki jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan pada 2022 apabila hanya mempunyai 105 Akaun Bersumpah (SD).
“Akhirnya Zahid bersuara dan dedah cerita sebenar. Tunggu Muhyiddin jawab dan cakap benar. Tapi jangan babitkan YDP Agong ke-16. Mohon ampun segera.
“Ceritanya begini. Muhyiddin kata dia ada 115 SD. Sebenarnya cuma 105 SD. Kata Zahid, 10 SD dari MP BN itu tidak sah. Kenapa tidak sah. Sebab 10 MP BN itu buat SD baru. Batallah SD pertama. Itu sebab tinggal 105,” katanya di Facebook pada Jumaat.
Semalam, Ahmad Zahid memberitahu, dokumen kedua adalah berkaitan kerusi yang dimenangi merupakan kepunyaan parti bukannya milik individu.
Jelasnya, SD yang ditandatangani 10 Ahli Parlimen BN tidak sah kerana mereka terikat dengan tiga dokumen tersebut sewaktu watikah pelantikan calon diberikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
Dengan nada sinis, beliau berkata, perlantikan Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri ke-8 adalah menerusi SD dan seharusnya mengetahui yang mana ‘halal’ atau tidak sah.
“Muhyiddin jadi PM8 kerana guna SD. Maka dia mesti tahu mana SD halal dan mana SD tidak sah. Muhyiddin gagal untuk jadi PMX. Maka jangan syok sendiri untuk jadi PMSD 2.0,” ujarnya.
Terdahulu, Muhyiddin menyerahkan dokumen mengandungi 115 SD ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Akuan Berkanun itu didakwa telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 tengah hari sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.