
ALOR GAJAH – Kementerian Kerja Raya akan terus komited membantu kerajaan negeri Melaka dalam menyegerakan kerja-kerja membaiki jalan persekutuan di 64 lokasi yang membabitkan peruntukkan sebanyak RM31.8 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata negeri itu sedang melaksanakan Tahun Melawat Melaka 2024 dan ramai pemimpin negara yang akan datang ke Melaka pada mesyuarat Pengerusi ASEAN 2025 nanti.
“Setakat ini sebanyak 15 lokasi sudah siap hanya tinggal 45 lokasi yang masih dalam pembinaan, selebihnya masih belum dimulakan dengan kerosakan yang dikenal pasti disebabkan mendapan yang mungkin terjadi akibat daripada hakisan banjir, faktor jalan yang semakin berusia serta laluan yang dilalui oleh kenderaan yang lebih muatan.
“Untuk itu kita akan lakukan kerja-kerja mengukuhkan turapan jalan terlebih dahulu kerana bimbang bila tiba musim tengkujuh, kerosakan sedia ada bertambah teruk dan membahayakan pengguna jalan raya,“ katanya kepada media selepas melawat lokasi pembaikan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) FT019 Seksyen 55.00-56.00 pada Khamis.
Alex turut meninjau beberapa laluan di antara persimpangan Pulau Gadong hingga ke persimpangan Taman Cheng yang kerap berlaku kesesakan, dengan 56,000 kenderaan menggunakan laluan itu setiap hari.
Cadangan membina pusingan U bertingkat telah diajukan dan kementerian akan memperhalusi cadangan ini secepat mungkin.
Persimpangan Bulatan Klebang (FT005) seksyen 232.50 hingga 233.10, dalam daerah Melaka Tengah juga merupakan lokasi blackspot kemalangan dan juga kesesakan kepada jalan raya.
Bagi menangani masalah ini, kerja-kerja naik taraf dan pelebaran jalan dilaksanakan bermula dari Bulatan Klebang sehingga sejauh anggaran 160m.
Menurutnya lagi, kementerian telah memperutukkan sebanyak RM1.5 juta bagi kerja-kerja pembaikan di seksyen tersebut yang akan bermula pada minggu pertama September dengan jangkaan siap sebelum Oktober ini.
Diharapkan segala usaha yang dilaksanakan ini dapat memberikan keselesaan dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita juga berharap akan ada peruntukan tambahan untuk Melaka bagi memastikan kerja-kerja pembaikan di jalan Persekutuan berjalan lebih lancar, terutama apabila negeri ini akan menerima kehadiran pemimpin negara pada 2025 nanti dan ini adalah sebahagian persediaannya,“ katanya.