
KLUANG – Saranan daripada badan bukan kerajaan (NGO) bagi menaikkan kelayakan minimum pembantu tadbir daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf perlu dilaksanakan dengan segera.
Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, keperluan ia dilaksana berikutan ia bukan sahaja akan meningkatkan mutu perkhidmatan awam, tetapi mampu memastikan mereka yang berkhidmat dalam peranan itu menerima pengiktirafan dan peluang yang sewajarnya untuk pertumbuhan kerjaya.
Menurutnya, penangguhan dalam meningkatkan kelayakan dan imbuhan pembantu tadbir seperti yang disarankan Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) itu hanya akan memburukkan lagi keadaan.
“MTUC juga menyeru kerajaan agar segera memberi perhatian kepada memorandum yang telah disampaikan oleh AUEGCAS kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dalam konteks ekonomi yang mencabar, memastikan kebajikan pembantu tadbir dan pekerja sektor awam adalah keutamaan yang tidak boleh ditangguhkan lagi,” katanya kepada The Malaysia Press, hari ini.

Mengulas lanjut. Mohd Effendy berkata,
kegagalan untuk bertindak akan memberi kesan negatif bukan sahaja terhadap kebajikan pekerja, tetapi juga kepada produktiviti sektor awam secara keseluruhan.
Sehubungan itu, katanya, MTUC percaya bahawa peningkatan kelayakan itu harus diiringi dengan penambahbaikan dalam struktur gaji dan syarat-syarat kerja pembantu tadbir, agar setimpal dengan tanggungjawab yang dipikul.
“Pengiktirafan sebegini adalah penting untuk memastikan kebajikan pekerja
sektor awam akan terus dijaga. MTUC menggesa semua pihak berkepentingan untuk segera duduk bersama dan mencari penyelesaian yang konkrit dan pantas.
“Ini perlu dilakukan demi memastikan
pembantu tadbir mendapat layanan yang adil dan setimpal dengan sumbangan mereka kepada negara,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung AUEGCAS, Amir Hamzah Yakat Ali merayu kepada kerajaan untuk meneliti semula skim perkhidmatan pembantu tadbir di bawah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Beliau meluahkan, pelaksanaan SSPA yang mana gred jawatan dengan kelayakan masuk SPM akan ditukarkan ke gred SSPA 1 dilihat seolah-olah telah diturunkan taraf hampir 300,000 pembantu tadbir di seluruh negara.