SANDAKAN – Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Sabah yang menyambut Hari Berbasikal Sedunia 2025 dengan menganjurkan program kayuhan santai sempena Kayuhan Santai Hari Berbasikal Sedunia Peringkat Daerah Sandakan 2025, di sini, pada Sabtu.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Kelab Berbasikal Sandakan, SDK Cycling Club (SCC) serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Presiden MPS, Walter Kenson berkata, penganjuran kayuhan santai itu selaras dengan aspirasi MPS untuk menjadikan Sandakan sebagai bandar mesra alam, sihat dan mampan.
“Sambutan luar biasa daripada masyarakat Sandakan membuktikan budaya berbasikal semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat.
“Berbasikal bukan sahaja aktiviti riadah, tetapi gaya hidup yang menyumbang kepada kesihatan fizikal dan mental selain membantu mengurangkan pencemaran serta kesesakan lalu lintas di bandar,” katanya.
Teks ucapan perasmiannya dibacakan
Timbalan Presiden I MPS, Wilson @ Terence Thomas di Plaza Harbour Mall.
Menurut Walter, MPS bercadang memasukkan Kayuhan Hari Berbasikal Sedunia dalam takwim tahunan majlis kerana aktiviti berbasikal melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang dan keupayaan.
“Semangat bersatu demi kesihatan dan kesejahteraan bersama inilah yang kita ingin semarakkan di Sandakan.
“Saya yakin melalui program ini, kita dapat memperkukuh hubungan komuniti, meningkatkan kesedaran mobiliti hijau dan memupuk budaya hidup aktif,” katanya.
Walter turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program itu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), SandakanFM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Hotel Elopura Sandakan serta agensi lain.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur merangkap Presiden SCC, Mohd Soffian Eting berkata, sambutan itu amat menggalakkan dengan 180 penyertaan termasuk Telupid, Felda Sahabat, Lahad Datu, Beluran dan Kinabatangan.
“Hari Berbasikal Sedunia disambut pada 3 Jun setiap tahun merupakan acara yang mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan program sebegini perlu diadakan secara berterusan.
“Kayuhan sejauh 12 kilometer itu secara tidak langsung turut bertujuan mempromosikan pelancongan daerah Sandakan,” ujarnya.








