
LAHAD DATU – Kerajaan Negeri Sabah diseru memberi perhatian serius terhadap kesesakan jalan raya khususnya pada waktu puncak di Jalan Tengah Nipah.
Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, isu ini berlaku sejak sekian lama dan kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan maut.
“Malang sekali jalan raya ini tidak terletak di bawah program Pan Borneo dan hanya di bawah program Kerajaan Negeri.
“Bagaimanapun, saya sudah menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya untuk memberikan saya sedikit makluman serta laporan bagaimana untuk membantu agar jalan raya ini dinaik taraf menjadi dua hala,” katanya yang juga Timbalan Menteri Sains Teknologi Inovasi (MOSTI).

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 di Dewan Perdana Lahad Datu, pada Khamis.
Menurut Yusof, keadaan jalan raya utama di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku itu sememangnya padat dengan kenderaan memandangkan jalan terbabit menghubungkan Lahad Datu-Felda Sahabat.
“Lahad Datu berpotensi sebagai daerah pertanian dan memiliki nilai ekonomi yang tinggi.
“Justeru, jaringan perhubungan yang baik amat penting bagi menyokong pembangunan tersebut, termasuk menarik pelabur,” ujarnya.







