
LAHAD DATU – ‘Dash Robot’, robot pendidikan interaktif daripada Petrosains, berjaya mencuri tumpuan pelajar yang hadir dalam Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 di daerah ini.
Seorang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Amalania, Mohd Ridhwan Wafi, 10, berkata, robot yang direka khas untuk tujuan pengaturcaraan itu menarik minatnya kerana mirip kepada apa yang dipelajari dalam subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).
“Saya gembira kerana ini kali pertama saya dapat mengendalikan secara fizikal. Sebelum ini, kami belajar tetapi hanya menggunakan telefon atau tablet.
“Saya memang minat sains dan robot ini beri saya peluang untuk kawal pergerakannya sama ada ke depan atau ke belakang,” katanya kepada The Malaysia Press semasa Karnival MSN 2025 di Dewan Perdana Lahad Datu, pada Khamis.

Seorang lagi pelajar, Arryan Dziqrie Azran, 11, dari St. Dominic turut kagum dengan ‘Dash Robot’ yang memberinya pengalaman memprogramkan sendiri robot berwarna biru itu.
“Di sekolah, kami belajar benda yang sama seperti ‘Scratch’, tapi yang ini lagi seronok sebab kita nampak depan-depan robotnya.
“Seronoknya, robot ini boleh buat bunyi haiwan, berpusing dan ada lampu. Terima kasih kepada MOSTI kerana selalu menganjurkan program sains di Lahad Datu,” katanya.
Karnival MSN disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Program anjuran MOSTI dengan kerjasama Pusat Sains Negara itu berlangsung dari Khamis hingga Sabtu yang menyasarkan kehadiran seramai 5,000 pengunjung dari sekitar Lahad Datu.
Antara pengisian program termasuklah Science on Wheel, trivia Sains dan Teknologi, Kejuruteraan serta Matematik (STEM).



