
PUTRAJAYA – Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Kakitangan, Datuk Mohd Nizam Jaffar dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-23, berkuat kuasa hari ini.
Lantikan Mohd Nizam itu dibuat bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang bersara wajib selepas berkhidmat hampir empat dekad bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau adalah individu kedua dilantik sebagai PAT yang bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara sedia ada, selepas Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail yang juga PAT Ketiga.
Pada majlis Serah Terima Tugas PAT Ke-23 semalam, Mohd Nizam, 59, berpangkat Leftenan Jeneral menerima pemakaian pangkat Jeneral sempena pelantikan beliau ke jawatan itu.
Majlis berlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta timbalannya, Adly Zahari.
Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Mohd Nizam adalah graduan Royal Military Academy Sandhurst, England, memulakan kerjaya ketenteraan sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja, diikuti juruiring bekas Timbalan Panglima Tentera Darat dan bekas PAT, Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali.
Anak kelahiran Johor itu juga pernah diberi tanggungjawab sebagai juruiring Yang di-Pertuan Agong Ke-14, Allahyarham Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Di peringkat antarabangsa, Mohd Nizam mencipta sejarah sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia pertama yang terpilih menghadiri Global Peace Operations Initiative (GPOl) Peace Support Operations Contingent Commander Course di Monterey, Amerika Syarikat sebelum dilantik sebagai Komander Batalion Malaysia (MALBATT) 2 di Lubnan.