KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diminta supaya terus melaksanakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan dan pelabur bagi mendapatkan maklum balas berkaitan isu rasuah yang boleh menjejaskan prospek perniagaan serta pelaburan di negara ini.
Permintaan tersebut merupakan antara strategi pembaharuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, di sini semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Khas CPI, sesi libat urus itu juga perlu dilaksanakan bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) bagi memastikan input yang menyeluruh dapat diperoleh daripada semua pihak berkepentingan.
Selain itu, beberapa strategi pembaharuan lain turut dikenal pasti untuk diberi keutamaan oleh Kumpulan Fokus (FG) CPI, termasuklah pembudayaan nilai integriti serta adaptasi teknologi dalam usaha membanteras rasuah. Usaha ini melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan dijadikan model peranan kepada PBT lain di seluruh negara.
“Diharapkan pelaksanaan inisiatif strategik oleh Pasukan Petugas Khas CPI ini akan memberi impak positif kepada prestasi Malaysia dalam CPI akan datang, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap sistem pentadbiran negara,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Pasukan Petugas Khas turut memaklumkan bahawa prestasi Malaysia dalam Laporan IMD World Competitiveness Ranking 2025 menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 11 anak tangga, daripada kedudukan ke-34 pada tahun 2024 kepada kedudukan ke-23 tahun ini.
Kenyataan tersebut juga menyebut bahawa indikator “Sogokan dan Rasuah” telah meningkat sebanyak 12 anak tangga, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keseluruhan prestasi negara dalam laporan berkenaan.








