
KLUANG – Misi Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 28 September ini dilihat semakin cerah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan pemerhatian, pihaknya mendapati respons pengundi terhadap Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah amat positif.
Menurutnya, pihaknya berpuas hati dengan komitmen jentera UMNO dari bahagian dan negeri angkat yang membantu kerana berfungsi dengan begitu baik ketika ini.
“Jentera UMNO akan memperhebatkan gerak kerja menggunakan sebaik-baiknya masa yang ada untuk mendekati seberapa ramai pengundi.
“Kita akan terus menemui seberapa ramai pengundi di DUN Mahkota. Setakat ini, respons pengundi dan penduduk di Mahkota diberikan cukup baik,” katanya ketika ditemui media di Taman Pelangi, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, anggota parti dari bahagian angkat dan negeri angkat dari seluruh negara bersungguh-sungguh melaksanakan tugasan diberikan mengikut kawasan masing-masing di Mahkota.
“25 bahagian angkat dari Johor datang membantu bersama negeri-negeri antaranya dari Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor. Mereka ini sudah berkampung selama dua minggu di Mahkota.
“Yang datang ini ada kerja-kerja dan tugasan masing, ada yang bantu pemuda pasang bendera, wanita berkempen dan puterinya menelefon pengundi,” katanya
Timbalan Menteri Kerja Raya itu memaklumkan, ahli MKT UMNO turut memainkan peranan sebagai bapa angkat di 18 pusat daerah mengundi (PDM) di sini.
“Setiap ahli MKT diberikan satu PDM. Bagi kawasan PDM yang besar dijaga oleh dua ahli MKT. Begitu juga dengan Exco Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO juga turun membantu.
“Jarak kerja jentera yang cukup bersatu padu dari bahagian, negeri angkat dan bapa angkat ini menjadi kunci kepada UMNO untuk melakar kejayaan kembali memenangi kerusi DUN Mahkota,” katanya.
PRK DUN Mahota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.