
KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) komited untuk terus menyokong inisiatif pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan oleh Sedcovest Holdings Sdn.Bhd.
Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, komitmen itu selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkasa lebih ramai rakyat Sabah agar mampu berdikari dan berdaya saing dalam bidang perniagaan.
“Saya berharap, pasukan besar MINDET dan agensi-agensinya terus melipatgandakan usaha untuk menjayakan Wawasan Sabah First iaitu membangunkan lebih ramai rakyat Sabah yang berpendapatan sebagai pemilik perniagaan atau sebagai usahawan.
“Selain membangunkan sektor komersial, Sedcovest juga melaksanakan program-program sektor sosioekonomi khususnya pembangunan usahawan merangkumi penyediaan premis perniagaan, latihan keusahawanan, bimbingan dan sokongan keusahawanan,” ujarnya.
Beliau berkata, demikian selepas mengadakan kunjungan ke Sedcovest Holdings dan diberi taklimat oleh Pengurus Besar, Abdul Rahim Md Zin di Wisma SEDCO, di sini pada Jumaat.
Jelasnya, penyelarasan yang lebih baik bermula daripada kumpulan SEDCO diyakini mampu memastikan kelestarian, kemandirian dan kejayaan yang lebih baik kepada anak-anak syarikatnya.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, Sedcovest menyediakan premis perniagaan kepada usahawan Bumiputera untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
“Sedcovest turut menyediakan latihan keusahawanan bagi menggalakkan budaya keusahawanan serta melahirkan usahawan yang kompeten dan berwibawa.
“Antara program yang dilaksanakan ialah Bengkel Keusahawanan Siswazah (BUSS), Bengkel Keusahawanan Teknikal (BEST), Kursus Asas Perniagaan dan Kursus Terpilih, Program Pensijilan MeSTI dan Halal PMKS Sabah serta Program Tunas Niaga (PROTUNe).
“Program PROTUNe memberi latihan keusahawanan di peringkat sekolah menengah dengan tujuan memupuk minat dan kecenderungan generasi muda untuk memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan pada masa hadapan,” katanya.





