KUANTAN – Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berharap kadar kutipan Caj Jalan Persendirian (CJP) ke Jalan Genting Highlands adalah munasabah dan tidak membebankan pengguna.
Perkara itu adalah antara cadangan dikemukakan kepada Genting Malaysia yang akan mengenakan kadar CJP di laluan masuk ke kawasan Genting dari arah Lebuh Raya Karak dan laluan masuk dari Batang Kali.
Beliau berkata, Genting Malaysia juga perlu memastikan mekanisme kutipan bayaran yang cekap dan tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas berganda.
Selain itu, katanya, pihak Genting juga wajar memberikan pengecualian khas atau diskaun CJP sekurang-kurangnya kepada penduduk, pekerja serta mereka yang mempunyai anak bersekolah di Genting Highlands.
Tambahnya lagi, syarikat itu perlu memastikan pemantauan dan penyelenggaran berterusan keadaan jalan serta cerun di sepanjang laluan itu dilakukan secara berkala.
“Oleh itu, saya berharap agar semua pihak mendapat penjelasan yang jelas demi keselamatan dan keselesaan pengunjung dan pengguna jalan ke Genting.
“Saya akan berterusan mengadakan perbincangan dengan pihak Genting Malaysia bagi memastikan pelaksanaannya dibuat dengan baik dan tidak menjejaskan penduduk,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Young Syefura berkata, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pusat peranginan Genting Highlands adalah antara kawasan popular yang akan menerima jumlah pengunjung yang sangat ramai.
“Oleh itu, saya mendukung sebarang usaha dan kerjasama untuk memastikan keadaan jalan serta cerun di tanah tinggi Genting sentiasa berada dalam keadaan yang selamat,” ujarnya.
Young Syefura juga menjelaskan, laluan Jalan Genting Highlands sepanjang 24 kilometer itu disahkan oleh Kementerian Kerja Raya sebagai jalan persendirian dan bukan jalan Persekutuan.
Katanya, sejak 1960-an lagi, penyelenggaran jalan, cerun serta kerja-kerja mitigasi bencana sepanjang laluan tersebut ditanggung kosnya oleh pihak Genting Malaysia bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna.
Menurutnya, pembinaan struktur kutipan CJP yang dibuat bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Lebuhraya Malaysia kerana ia membabitkan tanah persendirian.
“Walau bagaimanapun, spesifikasi pembinaan dan Kebenaran Merancang telah mendapat kelulusan pihak Majlis Perbandaran Bentong.
“Hasil perbincangan dengan pihak Genting Malaysia, saya memahami keputusan berkenaan kewajaran kutipan caj itu,” katanya.





