
DUYONG – Sambutan Maulidur Rasul menjadi majlis rasmi Kerajaan Negeri Melaka bagi mengangkat syiar Islam sekali gus menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam kenyataannya mengatakan sambutan itu dimulakan dengan Karnival Semarak Cinta Rasul yang diadakan selama lima hari bermula 13 hingga 17 September ini di Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah.
Menurut beliau, ia kemudiannya diikuti dengan Tanjung Bidara Berselawat bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 yang turut menampilkan kumpulan nasyid popular, Raihan dan penceramah terkenal.
“Alhamdulillah, kehadiran amat menggalakkan sehingga bergema selawat memuji nama Nabi Muhammad SAW di Tanjung Bidara dan seluruh Negeri Melaka.
“Selain itu, pelbagai aktiviti keilmuan disusun antaranya ceramah agama perdana, forum perdana, diskusi agama termasuklah program berbentuk pertandingan turut dianjurkan seperti Pertandingan Grand Qasidah, Pertandingan Muallaf Kreatif dan Pertandingan Ihtifal Cinta Rasul,” katanya.
Tambah Ab Rauf, Kerajaan Negeri komited menyuburkan syiar Islam di negeri ini demi memastikan keamanan dan kestabilan negeri terus menjadi maqasid utama agar kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
“Saya percaya usaha ini akan menjadi medium penyebaran dakwah terhadap masyarakat bukan Islam di Negeri Melaka sekali gus memperkukuh ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.







