
MELAKA – Kerajaan negeri ini akan menghimpunkan semua agensi yang terlibat untuk mendapatkan penyelesaian secara menyeluruh berkaitan isu banjir kilat kawasan ‘temurun’ di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) termasuk Lebuh Ayer Keroh, sejak 10 tahun lalu dalam kadar segera.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia susulan kekerapan kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku di lokasi sama setiap kali hujan lebat melanda.
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan mengetuai perbincangan untuk mencari solusi tersebut termasuk merangka pelan pembaikan serta peruntukan diperlukan.
Rais berkata, setakat ini punca penyebab banjir kilat sudah dikenal pasti, namun tindakan untuk mengatasinya perlu dirangka dengan teliti.
“Contoh, banjir kilat di Jalan Tun Razak, Ayer Keroh, lokasi berhampiran kawasan perindustrian itu kerap dilanda banjir kilat akibat limpahan air dari kawasan kilang berhampiran selain kedudukannya yang rendah”.
“Longkang sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air yang tinggi. Justeru, kita akan mencari jalan penyelesaian termasuk berkaitan bajet dalam kadar segera,” katanya selepas menyerahkan sumbangan bot penyelamat kepada Balai Polis Tanjung Minyak, di sini, hari ini.






