
MEDIA dan penerbit wajib bertanggungjawab dan berhati-hati menyiarkan simbol negara, Jalur Gemilang dengan sempurna tanpa menimbulkan sebarang isu sensitif dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop menyifatkan kesilapan yang dilakukan oleh akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily itu tidak sewajarnya berlaku, berikutan pemaparan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar itu semalam.
“Isu ini seharusnya dijadikan pengajaran. Media dan penerbit harus lebih bertanggungjawab, teliti dan sensitif dalam setiap paparan yang melibatkan simbol negara. Kawalan mutu dan semakan editorial bukan pilihan, ia kewajipan,” katanya menerusi catatan di laman Facebook pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ismail berpendapat, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan yang perlu dihormati dan tidak boleh dikhianati oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata, ia juga merupakan lambang yang memayungi rakyat Malaysia dan harus sentiasa dipertahankan daripada menjadi bahan sendaan.
“Kita tidak berniat menghukum, tetapi menuntut ketelusan dan rasa hormat terhadap simbol kedaulatan. Jalur Gemilang bukan milik satu kaum atau satu agama, ia milik seluruh rakyat Malaysia. Ia adalah lambang kebanggaan nasional yang wajib dipertahankan.
“Hanya dengan kesedaran, kepekaan dan tindakan tegas, kita dapat memastikan simbol negara terus dihormati dan dijunjung tinggi. Jangan biarkan maruah negara dipermainkan walau sebesar zarah,” katanya.
Tambah beliau, Jalur Gemilang ini melangkaui elemen dekoratif semata-mata kerana setiap warna, jalur, dan lambang mempunyai makna yang mendalam dan termaktub dalam sejarah serta Perlembagaan Malaysia.
“Hilangnya simbol bulan sabit adalah satu pengabaian terhadap identiti nasional dan sensitiviti masyarakat, terutama dalam konteks perpaduan kaum dan agama,” ujarnya.



