
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi jaminan akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat pihak yang memanipulasi teknologi kecerdasan buatan (AI) di media sosial.
MCMC berkata, teknologi ini kadang kala amat sukar untuk dikenal pasti sama ada asli atau sebaliknya.
Namun, pihaknya akan segera membanteras kegiatan tersebut kerana tindakan ini mampu mengelirukan masyarakat dalam penyampaian sesuatu maklumat di dunia maya.
“Teknologi AI amat menyukarkan beberapa perkara seperti sukar membezakan kandungan asli atau dijana oleh AI dan kita tengok dari segi kematangan teknologi AI yang semakin baik dan agak merisaukan.
“Pihak MCMC mengambil berat dari segi kandungan jika menyalahi akta kami atau undang-undang Malaysia, MCMC akan memohon penurunan kandungan,” katanya ketika sesi taklimat bersama MCMC berkenaan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588), hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan kesukaran untuk menjejak pemilik kandungan berikutan isu ‘IP Masking’, MCMC akan berhubung terus dengan penyedia perkhidmatan dan pihak terlibat untuk menurunkan kandungan berkenaan atau memohon sekatan terhadap akaun tersebut.
“Sekiranya hantaran dibuat oleh sesuatu ‘IP Address’, MCMC akan berhubung dengan pemilik kandungan atau menghubungi penyedia perkhidmatan untuk membuat sekatan akses capaian terhadap kandungan berkenaan.
“Isu ‘Masking’ menyukarkan untuk mengenalpasti individu yang terlibat, walau bagaimanapun kami akan cuba mengekang kandungan berkenaan disebarluaskan dengan kerjasama pihak berkaitan,” katanya.
Justeru, agensi itu berkata, perlaksanaan pelesenan platform media sosial yang bakal berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan itu penting bagi mengatasi pelbagai masalah dalam internet.
Katanya, pelesenan itu juga memudahkan urusan pihak berwajib terutamanya MCMC mendapatkan maklumat di mana penyedia perkhidmatan memberikan kerjasama sewajarnya bagi membendung sebarang permasalahan.
“Buat masa ini seperti kita telah umumkan kerangka perlesenan telah diperkenalkan di mana semua penyedia perkhidmatan terutamanya media sosial perlu mohon lesen untuk melaksanakan perkhidmatan mereka di Malaysia sebelum 1 Januari tahun hadapan.
“Setelah mendapatkan lesen, mereka akan diperlesenkan di bawah akta itu. Sekiranya terdapat kemudaratan di dalam talian dan siasatan perlu dilakukan, pihak berwajib boleh memohon maklumat yang diperlukan untuk menjalankan siasatan.
“Penyedia perkhidmatan perlu memberikan kerjasama dan jika tidak dijalankan ia menjadi satu kesalahan,” ujarnya.
Terdahulu, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang pertama kali dicadangkan sejak ia dikuatkuasakan 26 tahun lepas, akan dibentangkan di Parlimen Isnin lalu.
Cadangan pindaan itu akan meliputi penambahbaikan kepada skop penggunaan Seksyen 233, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, bagi mengelakkannya disalah guna.
Pindaan turut akan menyentuh aspek media sosial, pembangunan industri dan keselamatan rangkaian.







