PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin MCA akan kekal dalam gabungan itu walaupun kemungkinan berlakunya gerakan dalam parti terbabit melakukan usaha berkenaan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana MCA dan MIC adalah pemangkin kepada kewujudan BN.
“Tak ada (MCA akan keluar BN), (jika berlaku) saya akan diberitahu sendiri oleh Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong).
“Mungkin ada gerakan (pihak tertentu) yang dilakukan, saya pun ada dikhabarkan begitu, tetapi keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) mereka tidak begitu, Insya-Allah mereka tetap bersama dengan kita (BN),” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Serentak UMNO Bahagian Port Dickson di Dewan Pusat Latihan FAMA di Port Dickson, petang semalam.
Ahmad Zahid diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai mesyuarat perwakilan bahagian MCA yang sedang berlangsung dijangka akan menentukan sama ada parti itu akan mengambil keputusan untuk berpisah dengan UMNO pada perhimpunan agung tahunan parti pada Oktober tahun ini.
Isu itu dikatakan timbul berikutan meningkatnya rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin akar umbi parti terbabit yang mendakwa parti itu dipinggirkan UMNO.








