
MAJLIS Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menolak cadangan pembinaan kompleks penyimpanan abu mayat setinggi empat tingkat bersebelahan Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang.
Keputusan sebulat suara dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Setempat (OSC) setelah mengambil kira isu teknikal dan bantahan penduduk setempat terhadap pembinaan memorial tersebut, kata Datuk Abd Hamid Hussain.
Bagaimanapun Datuk Bandar MBDK itu berkata, mesyuarat OSC yang diadakan Khamis lalu berkata, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu boleh mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Negeri Selangor.
“Pihak pemaju atau pemohon bagaimanapun boleh memfailkan rayuan kepada Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor dalam tempoh 30 hari.
“Sekiranya mereka masih tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Rayuan, mereka boleh memfailkan perkara itu ke mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program “Clean & Green” Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di Klang, semalam.
Abd Hamid berkata pihaknya telah melaksanakan proses sewajarnya dalam mempertimbangkan permohonan pihak pemaju sebelum membuat keputusan berkenaan.
Terdahulu, pada 6 Jun lalu media melaporkan penduduk Kampung Raja Uda berhimpun bagi membantah cadangan pembinaan kompleks penyimpanan abu mayat setinggi empat tingkat di atas tanah milik persendirian seluas satu hektar bersebelahan Masjid Kampung Raja Uda.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Raja Uda Azhar Ibrahim dilaporkan berkata sebahagian besar daripada 5,000 penduduk kampung yang tidak bersetuju dengan pembinaan memorial berkenaan telah menghantar lebih 300 notis bantahan secara dalam talian kepada MBDK.
Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri telah mewakili penduduk dalam sesi pendengaran awam dengan pemaju yang dikendalikan Timbalan Datuk Bandar MBDK Mohd Zary Affendi Mohd Arif pada 19 Jun.







