KANGAR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli digugurkan daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri dan tempatnya digantikan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.
Pelantikan itu diumumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN (MTPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu negara semalam.
Azmin berkata, pelantikan semua Pengerusi PN negeri termasuk Pahang dan Perlis berkuat kuasa mulai hari ini.
“Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Pengerusi PN Pahang, manakala Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim mengetuai PN Perlis,” katanya.
Selain itu, beberapa pelantikan lain turut dibuat termasuk Datuk Dr. Sahruddin Jamal (Johor), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (Kedah), Datuk Ahmad Yakob (Kelantan) dan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Melaka).
Azmin turut memaklumkan mesyuarat malam ini membincangkan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan PN akan bertanding secara aktif serta mengumumkan senarai kerusi tumpuan dalam masa terdekat.
“PN bertekad memperkukuhkan wadah perjuangan sebagai parti inklusif, progresif dan prihatin rakyat,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shukri menerusi hantaran di Facebook mengucapkan tahniah kepada Shahidan atas pelantikan tersebut.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Shahidan atas pelantikan sebagai Pengerusi PN Perlis yang baharu.
“Semoga beliau terus memperkukuh perpaduan dan kekuatan PN di negeri ini sekali gus memastikan pentadbiran PN kekal mentadbir Perlis dan mencapai kejayaan pada PRU ke-16 kelak,” ujarnya.




