Gunung Kinabalu miliki monumen penanda arah kiblat tertinggi Malaysia

KOTA KINABALU – Gunung Kinabalu destinasi pendakian tersohor dunia mencipta sejarah baharu apabila monumen penanda arah kiblat yang dipasang di KM8 gunung itu, diiktiraf sebagai Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pengiktirafan itu bukan sekadar satu pencapaian fizikal, tetapi juga simbol kekuatan semangat, keilmuan dan keimanan umat Islam di Sabah yang berjaya menggabungkan ilmu falak, teknologi dan ketahanan fizikal dalam satu projek unik dan bermakna.

“Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia, menjadi lambang keutuhan akidah dan syiar Islam yang menjulang tinggi.

“Ia bukan hanya rekod dalam buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dakwah, ilmu dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Tambah Hajiji, pemasangan monumen kiblat di Gunung Kinabalu amat signifikan kerana ia membantu pendaki Muslim menentukan arah kiblat dengan tepat semasa menunaikan solat di altitud tinggi, sekali gus menyelesaikan cabaran pelaksanaan ibadah di kawasan ekstrem.

“Pendakian Gunung Kinabalu kini semakin popular di kalangan rakyat tempatan dan antarabangsa.

“Bagi pendaki Muslim, penentuan arah kiblat sering menjadi cabaran.

“Usaha ini amat tepat pada masanya, memberikan kemudahan dan keyakinan kepada mereka untuk menunaikan solat dengan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, monumen berkenaan dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut di KM8 Gunung Kinabalu dan sekali gus menjadikannya penanda arah kiblat tertinggi di negara ini.

Tambahnya, projek berkenaan dilaksanakan dalam beberapa fasa, bermula dengan tinjauan awal dan penentuan arah kiblat menggunakan kaedah falak oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah, disusuli kerja-kerja pengukuran oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Sinergi semua agensi ini membuktikan bahawa apabila ilmu, teknologi dan iman bersatu, ia mampu mencipta satu kejayaan besar.

“Gunung Kinabalu kini bukan sekadar destinasi pendakian fizikal, tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah yang mengangkat keagungan ciptaan Allah SWT,” kata beliau.

Menurutnya, kewujudan monumen ini turut memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra Muslim di rantau ini, di samping memperkasakan ilmu falak dalam masyarakat.

“Pelancong Muslim kini lebih yakin menunaikan solat di puncak tertinggi Malaysia. Ini menjadikan Sabah peneraju pelancongan halal, sekali gus membuktikan sains dan agama boleh bergerak seiring dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.

Beliau yakin dengan pendekatan sebegini boleh dijadikan model rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam usaha menggabungkan pembangunan fizikal dan rohani secara seimbang.

Hajiji berkata, pencapaian ini menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa kejayaan boleh dicapai melalui ilmu, semangat dan kerjasama.

“Monumen ini bukan sahaja menandakan arah kiblat, tetapi juga arah kemajuan negeri Sabah. Ia simbol penyepaduan antara pembangunan fizikal dan rohani,” tegasnya.

Sebagai rekod, beliau mengumumkan pengiktirafan tersebut dalam Majlis Pengiktirafan MBOR bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia di The Pacific Sutera, Sutera Harbour Resort, pada Isnin.

Turut terlibat dalam projek ini ialah Taman-Taman Sabah; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Pejabat Ketua Menteri; Polis; Bomba,; Radio Televisyen Malaysia (RTM); Pejabat Daerah Ranau; Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Bahagian Istiadat dan Protokol.

Related Posts

MPP UMS hargai keprihatinan, usaha universiti tangani gangguan bekalan air di kampus

KOTA KINABALU – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan dan usaha pihak pengurusan universiti dalam menangani isu gangguan bekalan air yang sedang melanda kampus.‎‎Ketua…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Diwarmas rai Aidilfitri, seru warga emas terus kuasai ilmu digital

KUCHING – Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Kelab Literasi Digital Warga Emas Kuching (Diwarmas) yang berlangsung pada Khamis meriah dengan semangat silaturahim dan ukhuwah komuniti. Acara yang menghimpunkan warga emas…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MPP UMS hargai keprihatinan, usaha universiti tangani gangguan bekalan air di kampus

  • By Ynom
  • April 16, 2026
MPP UMS hargai keprihatinan, usaha universiti tangani gangguan bekalan air di kampus

Diwarmas rai Aidilfitri, seru warga emas terus kuasai ilmu digital

Diwarmas rai Aidilfitri, seru warga emas terus kuasai ilmu digital

SSM santuni asnaf, bekas tentera sempena ulang tahun ke-24

SSM santuni asnaf, bekas tentera sempena ulang tahun ke-24

‎Teruskan berkhidmat, perkukuh sektor agromakanan Sabah – Jamawi

‎Teruskan berkhidmat, perkukuh sektor agromakanan Sabah – Jamawi

PDRM tingkat kawalan stesen minyak sempadan, Ops Tiris 4.0 digerakkan

PDRM tingkat kawalan stesen minyak sempadan, Ops Tiris 4.0 digerakkan

Exco akui kelemahan semakan jersi

Exco akui kelemahan semakan jersi