MIRI – Penduduk sekitar kawasan Strawberry Park, Miri, digemparkan dengan penemuan seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dan dibuang di dalam sebuah parit, pagi tadi.
Menurut sumber, bayi tersebut masih mempunyai tali pusat dan dipercayai berusia kurang daripada 24 jam.
Keadaan fizikalnya yang kelihatan sudah kembung menimbulkan kebimbangan mengenai tempoh ia ditinggalkan tanpa penjagaan.
Pemandu ambulans yang tiba di lokasi kejadian memaklumkan bahawa bayi itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan segera dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan selanjutnya.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi.
Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini agar segera tampil untuk membantu siasatan.
Insiden ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang pentingnya kesedaran terhadap isu pembuangan bayi serta peranan semua pihak dalam melindungi hak dan keselamatan anak-anak yang tidak berdosa.






