PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mempertahankan jawatannya sebagai Ketua PKR Cabang Simpang Renggam dalam pemilihan yang berlangsung semalam.
Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu meraih 125 undi menewaskan dua pencabarnya, iaitu Wong Yung Chin (109 undi) dan Yusof Rahman (82 undi).
Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, kekal sebagai Ketua Cabang Simpang Renggam untuk penggal kedua sejak pemilihan pada 2022.
Berdasarkan maklumat laman sesawang Pemilihan PKR 2025, sebanyak 318 kertas undi dikeluarkan daripada keseluruhan 406 ahli layak mengundi.
Borang keputusan itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.






