SIBU – Lebih 600 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun menyertai Pertandingan Mewarna 2025 sempena Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai anjuran Komuniti MADANI Norkiah dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Empawah di Medan Mall, Unicity, Wawasan pada Ahad.
Program berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh, manakala acara mewarna disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying.
Pertandingan bertemakan ‘Kediaman Hijau, Kita Jaga Bersama’ itu bertujuan memupuk kesedaran penjagaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
Pengerusi Komuniti MADANI Norkiah merangkap Pengerusi KRT Sungai Empawah, Kaunselor Wong Hua berkata, sambutan luar biasa daripada ibu bapa dan sekolah membuktikan komitmen terhadap pendidikan nilai alam sekitar sejak awal usia.
“Lukisan yang dihasilkan mencerminkan harapan dan janji anak-anak untuk melindungi bumi. Kita perlu berganding bahu mengurangkan pencemaran, menjimatkan sumber dan memelihara alam sekitar.
“Ingatlah, bumi ini bukan warisan kita, tetapi pinjaman daripada generasi akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan penipuan dalam talian yang kian berleluasa seperti love scam, pelaburan palsu dan pembelian atas talian.
“Saya menyeru orang ramai membuat laporan segera kepada pihak berkuasa jika menjadi mangsa. Tindakan awal ini boleh meningkatkan peluang untuk mendapatkan semula wang yang hilang,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Kaunselor Allan Lau berkata pertandingan ini bukan sahaja mencungkil bakat dan kreativiti peserta, malah membentuk nilai murni seperti kerjasama dan tanggungjawab.
“Program ini turut membuka ruang kerjasama antara agensi kerajaan dengan swasta menerusi pameran maklumat serta aktiviti interaktif bersama-sama komuniti setempat,” jelasnya.
Dalam pertandingan tersebut, Joanne Ling Yi Tong muncul juara bagi kategori Tahap 1 (Darjah 1 hingga 3) dan membawa pulang wang tunai RM250 beserta sijil penghargaan.
Manakala Charlene Ting Yan Jin dinobatkan johan kategori Tahap 2 (Darjah 4 hingga 6) dan menerima hadiah wang tunai RM300 serta sijil penghargaan.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Sibu, Zaini Morshidi; wakil Jabatan Perpaduan Sibu, Dayang Nordiatullisa; Pengerusi MTPN Sibu, Lucas Lau; Pegawai J-KOM Sibu, Fatimah Firdaus serta Penasihat KRT Sungai Empawah, Kr. Lau King Hung.





