
KOTA KINABALU – Keputusan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang berakhir pada 29 November lalu tidak boleh ditafsirkan sebagai penolakan menyeluruh masyarakat Cina terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebaliknya dipengaruhi dinamika sokongan pengundi di kawasan-kawasan tertentu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, persepsi bahawa masyarakat Cina secara keseluruhan tidak menyokong parti kerajaan adalah kurang tepat kerana GRS tidak bertanding di kebanyakan kawasan majoriti kaum berkenaan.
Menurutnya, kawasan-kawasan tersebut pertandingan melibatkan rakan gabungan daripada Pakatan Harapan khususnya DAP, sekali gus mempengaruhi pola keputusan pilihan raya.
“Kalau disebutkan bahawa secara total masyarakat Cina menolak GRS ataupun rakan-rakan kita itu kurang tepat. Perubahan sokongan berlaku di kawasan tertentu.
“Kalau kita lihat contoh di Papar, khususnya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis kita ada satu peti undi iaitu Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti masyarakat Cina, iaitu PDM Bandar.
“Lebih lima pilihan raya sebelum ini parti kita kalah, tetapi semasa saya bertanding pada PRU lalu tetap masih kalah walaupun ada peningkatan sikit.
“Tapi Alhamdulillah, dalam pilihan raya kali ini, kerusi majoriti masyarakat Cina di DUN Pantai Manis yang ditandingi oleh calon GRS berjaya dimenangi selepas tujuh pilihan raya kali ini kita menang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di Dewan Terbuka Perpustakaan Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Jelasnya, Kerajaan Negeri menerima dan menghormati keputusan rakyat, termasuk melakukan ‘post mortem’ menyeluruh bagi mengenal pasti isu-isu yang mendorong corak sokongan pengundi khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.
“Yang penting, kita perlu terima dan hormati keputusan ini serta melihat apa perkara yang perlu kita tambah baik untuk mewujudkan keyakinan mereka.
“Pilihan raya telah berakhir dan Kerajaan Negeri kini telah terbentuk dengan GRS sebagai teras pentadbiran, justeru kerajaan bertanggungjawab berkhidmat kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira kecenderungan politik sebelum ini.
“Kita adalah kerajaan kepada setiap rakyat Sabah bukan hanya kepada mereka yang mengundi kita. Sama ada mereka menyokong kita atau tidak, itu adalah hak demokrasi mereka,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri juga perlu menunaikan manifesto yang telah digariskan serta meterjemahkannya ke dalam hala tuju pentadbiran negeri yang jelas dan berfokus.
“Pembentangan pelan hala tuju pembangunan negeri SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 juga penting susulan tahun baharu yang bakal bermula tidak lama lagi.
“Pilihan raya sudah berakhir, kita tidak boleh ‘berbulan madu’ terlalu lama kerana pelan hala tuju ini penting bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga kepada jentera kerajaan, perkhidmatan awam, pelabur dan sektor swasta supaya semua pihak jelas tentang arah tuju teras Kerajaan Negeri,” ujarnya.







