Manuskrip Melayu, pakar dan agenda pembodohan

SEBAHAGIAN kita tentu sedia maklum kewujudan manuskrip Melayu yang bernilai tinggi tetapi kini tidak berada dalam simpanan kita sebaliknya ‘dikawal’ tangan asing di luar negara.

Akhir-akhir ini timbul semacam ‘gesaan’ oleh sesetengah pihak agar kerajaan berusaha memastikan semua manuskrip tu ‘pulang ke lubuknya’.

Secara mudahnya saya bersetuju dengan pihak yang menggesa perkara itu.

Ya, bawalah balik manuskrip itu semuanya.

Takkanlah nak kita biarkan dokumen berharga atau khazanah bangsa kita terperap di negara atas angin.

Kalau terus dibiarkan itu di sana, entah lama-kelamaan dokumen itu tidak lagi dikira sebagai hak bangsa dan negara kita.

Mungkin ada orang ‘sinikal’ dalam menerima pandangan ini tetapi jangan sesekali mengatakan itu mustahil kerana kuasa boleh menentukan hak atau pemilikan.

Pun begitu kita kena ingat, membawa khazanah itu kembali ke ‘rumahnya’ bukanlah percuma.

Dipercayai, sejumlah besar dana diperlukan dan kita tidak bolehlah tergesa-gesa dalam keadaan banyak perkara lain perlu diperkasakan terutama yang melibatkan kesejahteraan rakyat terbanyak.

Sungguhpun begitu, seperti kata seorang rakan yang bergelumang dalam dunia penulisan kreatif, selepas kita bawa balik manuskrip itu, apa yang mahu kita buat?

Katanya lagi, takkanlah kita sekadar mahu mengadakan pameran.

Dalam isu ini saya bersetuju dengan pendapatnya bahawa yang lebih penting sekarang, kita wujudkan tenaga pakar manuskrip Melayu.

Kalau kita tidak memiliki pakar, kalau tidak dibina kepakaran yang dapat memanfaatkan manuskrip itu, tidak ada gunanya kita bawa balik khazanah tersebut.

Kalaupun ada faedahnya, itu hanya dikecapi sebahagian kecil orang iaitu yang nampak itu peluang ‘buat duit’.

Kata rakan saya itu lagi, sebahagian masyarakat kita ini jenis bersemangat tapi hanya nampak perkara yang bersifat fizikal sahaja.

Mereka ‘bergebang’ mahu mengangkat sastera, filem, dan macam-macam hal.

Tidak terkecuali mereka bercakap pasal Nobel Prize dan Oscar tetapi pendidikan untuk melepasi garis itu tidak dibangunkan.

Yang kita bangunkan semuanya berkait rapat dengan fasiliti.

Buktinya jelas, antaranya kita ada dewan teater berkelas dunia dan semua kompleks kerajaan boleh dikatakan ada dewan, tetapi apakah kita ada penggiat teater yang boleh cari makan dengan teater?

Kita juga ada stadium yang bukan main juga besarnya tapi masih tercari-cari laluan ke pusingan akhir Piala Dunia.

Ringkas cerita, tidak mustahil kita mampu bawa balik manuskrip itu dan mampu kita bina suatu muzium yang berkelas dunia untuk menempatkan manuskrip itu tetapi sekali lagi rakan saya bertanya, itu untuk apa?

Adakah itu untuk ditonton saja sedangkan kekayaannya yang sebenar, yang bersifat akliah, terus tersimpan di atas halaman kerana kita tidak membangunkan pakar yang mampu membaca dan mengkaji berdasarkan pandangan alam kita sendiri.

Pengajarannya di sini, wujudkan kepakaran dan bina tenaga pakar.

Saya percaya, itulah juga yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

Ya, Malaysia Madani memerlukan hukama atau cendekiawan dalam semua bidang.

Kita tidak mahu lagi hidup dalam retorik yang tak berkesudahan seperti yang berlaku dalam dunia politik angkara pihak yang gemar melaksanakan agenda pembodohan.

Demikianlah kisahnya.

Related Posts

MINDA TOK ABAH: Di tengah dunia menjauh, Malaysia pilih untuk bersama

RAMADAN hampir melabuhkan tirainya. Di seluruh negara, rakyat mula memasuki fasa yang paling dinanti setiap tahun, iaitu persiapan menyambut Aidilfitri. Jika seseorang berjalan ke mana-mana bazar Ramadan pada waktu petang,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Undang-undang antarabangsa mesti terpakai secara saksama – Anwar

Undang-undang antarabangsa mesti terpakai secara saksama – Anwar

PaduNegeri jadi benteng keharmonian Sabah

PaduNegeri jadi benteng keharmonian Sabah

Tiga maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba curi kabel TNB

Tiga maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba curi kabel TNB

JPJ Sabah lancar Ops Khas Aidilfitri, fokus sembilan kesalahan utama

JPJ Sabah lancar Ops Khas Aidilfitri, fokus sembilan kesalahan utama

Jangan terburu-buru menghukum, Akta 872 wajar dinilai secara adil

Jangan terburu-buru menghukum, Akta 872 wajar dinilai secara adil

7 tan minyak sawit mentah dirampas di perairan Sandakan

7 tan minyak sawit mentah dirampas di perairan Sandakan