
PUTRAJAYA – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini menerima tugas sebagai Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen Asean (AIPA) ke-46 bagi 2025 dari Laos.
Simbolik serahan tugas itu dibuat oleh Presiden Dewan Rakyat Laos merangkap Presiden AIPA ke-45, Xaysomphone Phomvihane kepada Johari pada Majlis Penutup Perhimpunan Agung AIPA di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane, hari ini.
Pada majlis sama, Malaysia buat kali pertama memperkenalkan logo AIPA Malaysia 2025 menerusi video promosi.
Logo itu memaparkan corak berbentuk bunga raya dengan warna mewakili warna utama bendera semua 10 negara anggota Asean.
Kali terakhir penganjuran Malaysia sebagai Presiden AIPA adalah pada 2015.







