GUA MUSANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memberi jaminan manifesto yang bakal dilancarkannya bukan hanya retorik.
Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awie berkata, beliau mengambil lebih masa untuk membincangkan manifesto itu dengan kepemimpinan BN bagi memastikan ia mampu dilaksanakan.
“Saya tengah bincang dengan pihak kepemimpinan sebab saya tidak mahu manifesto ini sekadar manifesto… bila kita berjaya nanti, kita mampu lakukan.
“Saya tidak mahu hanya retorik kerana orang muda tidak mahu retorik, mereka semestinya mahu keperluan mereka dipenuhi,” katanya selepas program Pesta Bola Nenggiri di Kampung Sungai Asap B pada Sabtu.
Perlawanan itu membabitkan pasukan diwakili penduduk bersama bekas pemain bola sepak Kelantan dan selebriti.
Antara bekas pemain yang mengambil bahagian adalah Mohd Badhri Mohd Radzi, Nor Farhan Muhammad dan Daudsu Jamaludin, manakala selebriti pula dibarisi Sharol Shiro, Mamak Putih serta Fad Bocey.
Awie yang bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan akan menentang calon Perikatan Nasional menggunakan logo Pas, Mohd Rizwadi Ismail.
PRK itu diadakan susulan kekosongan kerusi berkenaan selepas keahlian bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan daripada Bersatu pada 13 Jun lalu.





